Sistem perubatan tradisional Melayu Perubatan_tradisional_Melayu

Perubatan tradisional Melayu adalah melalui amalan petua yang terdiri daripada dua aspek, iaitu amalan suruhan dan amalan tegahan.[1] Amalan suruhan banyak berhubung dengan pemakanan daripada segi jenis, kuantiti, dan khasiat yang terdapat di dalam tumbuhan. Ia bertujuan untuk mendapatkan keseimbangan serta mengelakkan sebarang serangan penyakit dan keuzuran. Amalan tegahan pula bertujuan untuk menghalang pesakit daripada memakan makanan tertentu sewaktu dalam tempoh rawatan sebagai pantang larang. Ia bertujuan untuk memeliharakan kesihatan manusia dalam keadaan baik secara berterusan atau bagi mempercepatkan penyembuhan penyakit.

Kebanyakkan pengamal perubatan tradisional Melayu mengkategorikan punca penyakit kepada yang bersangkutan dengan darah dan yang bersangkutan dengan angin. Darah perlu 'panas' tetapi tidak boleh berlebihan.[1] Angin disalurkan melalui urat di dalam badan. Namun jika terdapat terlalu banyak angin, ia akan menyekatkan perjalanan darah lalu menganggu kesihatan. Justeru, darah dan angin merupakan dua unsur utama dalam tubuh seseorang. Jika kedua-dua darah dan angin berkeadaan baik, maka individu yang berkenaan itu akan sihat. Sehubungan dengan itu, kaedah pengurutan juga dilakukan bagi menolak 'angin' dan merangsang perjalanan darah dan urat. Pengurutan biasanya dilakukan pada bahagian-bahagian badan yang terlibat dalam kerja berat, seperti tangan, kaki, dan belakang tubuh. Ia dilakukan dengan menggunakan minyak urut atau minyak angin yang diperbuat daripada minyak kelapa dan beberapa jenis tumbuhan yang mempunyai khasiat 'panas'. Tumpuan utama pengurutan adalah untuk merawat perempuan lepas bersalin. Di samping itu, mereka juga digalakkan mengambil ramuan tumbuhan untuk dimakan dan disapu pada badan bagi mengeluarkan angin dari urat.

Kitab perubatan Melayu silam dinamakan kitab Tib dan Perpustakaan Negara Malaysia telah mencetak semula kajian mengenai kitab tib seperti judul Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu untuk kajian dan rujukan mengenai kesusteraan bahasa Melayu.

Dalam perubatan tradisional Melayu, penggunaan tumbuh-tumbuhan adalah amat meluas. Kebanyakkan pengamal perubatan tradisional Melayu berpendapat khasiat perubatan terletak terutama pada akar tumbuhan dan bagi tumbuhan yang berubi, ia terletak pada ubinya. Pengamal perubatan tradisional Melayu biasa mengkategorikan zat tumbuhan kepada tiga, iaitu:[1]

  1. Zat besi untuk menguatkan darah;
  2. Zat kawi untuk menstabilkan perjalanan fungsi tubuh; dan
  3. Zat kapur untuk menyejukkan badan.

Gabungan Pengamal Perubatan Tradisional Melayu Malaysia (GAPERA) menggantikan PUTRAMAS merupakan salah satu Badan Pengamal yang dikenal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari sila lihat GAPERA